Wednesday, November 9, 2011

PTPTN teliti semula cadangan henti pinjaman

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan meneliti semula cadangan menghentikan pinjaman kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan menimbang pembiayaan berdasarkan yuran pengajian saja bermula 2013.
Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk diteliti sebelum dibentang kepada Kabinet.

“Kalau KPT meluluskan cadangan berkenaan, kita akan beri pinjaman kepada pelajar untuk menampung yuran pengajian dan bukan kos perbelanjaan harian mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.
Menurut Ismail, pihaknya sedar bahawa cadangan itu berupaya memberi kesan langsung kepada keluarga pelajar kurang berkemampuan berikutan terpaksa menggunakan dana Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk perbelanjaan harian. “SSPN dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Julai lalu untuk menggalakkan budaya menabung di kalangan ibu bapa.

“Tabungan itu bertujuan menampung pembiayaan pendidikan anak-anak sebagai mana digalakkan PTPTN dengan pelaksanaan semula syarat wajib itu tahun hadapan,” katanya.

sumber : harian metro

No comments: