Monday, September 26, 2011

saiz pinggang petanda sakit jantung ?




  Penyelidik Universiti Texas mengesahkan saiz pinggang menjadi petanda utama penyakit jantung berbanding berat badan berlebihan. Malah ukuran pinggang yang dikategori ‘masih boleh diterima’ iaitu 81 sentimeter (32 inci) bagi wanita dan 94 sentimeter (37 inci) bagi lelaki juga mempunyai risiko untuk mendapat penyakit jantung.

Ini kerana lemak yang terkumpul di kawasan pinggang didapati lebih aktif kerana ia merembeskan protein kerada�ngan yang menyumbang kepada pembentukan aterosklerosis (plak kolesterol pada dinding salur darah) - dan akhirnya boleh membuatkan salur darah tersumbat.

Selain penyakit jantung, pakar perubatan juga sependapat saiz pinggang melebihi 88.9 sentimeter (35 inci) bagi wanita dan 101.6 sentimeter (40 inci) bagi lelaki juga boleh mendekatkan mereka dengan kencing manis.
       
 Kajian ke atas 2,744 individu dewasa itu turut mendapati bentuk badan ada kaitan dengan penyakit jantung kerana penambahan beberapa inci saiz pinggang boleh meningkatkan risiko kerosakan salur darah di jantung walaupun mempunyai berat badan dalam julat normal.

Masih berkira-kira hendak bersenam? Baiklah, mungkin anda tidak tahu, apabila kita duduk terlalu lama, otot terutama pada kaki akan merangsang atau menyekat pelbagai jenis hormon yang akhirnya memberi kesan kepada paras kolesterol.

Kita tahu paras kolesterol baik hanya boleh ditingkatkan melalui senaman. Tiada makanan ajaib mampu meningkatkan paras kolesterol baik yang sangat penting untuk melindungi kita daripada penyakit jantung.

Kajian Fakulti Perubatan Universiti Stanford mendapati berlari (berjoging) boleh membantu meningkatkan jangka hayat. Kajian selama 21 tahun itu menunjukkan berlari boleh melengahkan kehilangan keupayaan berkaitan umur selama 16 tahun dan memanjangkan jangka hayat selama 19 tahun. Di dalam kumpulan pelari, hanya 15 peratus meninggal dunia (akibat sakit jantung, kanser, strok dan masalah saraf) berbanding 34 peratus di kalangan kumpulan bukan pelari.

Senaman tahap sederhana selama 30 minit sehari, lima kali seminggu memadai untuk mengekal dan meningkatkan kesihatan. Selain itu masukkan juga senaman regangan dan ketahanan dua kali seminggu untuk menjaga keanjalan otot dan merangsang metabolisme.

Bagi yang selalu tertanya bagaimana ada individu berumur lanjut tampak awet muda, senaman adalah jawapannya. Ia adalah ubat untuk awet muda yang sangat mujarab. Gaya hidup aktif membantu mengekalkan jisim otot, merangsang metabolisme, menguatkan jantung dan paru-paru, membantu mengawal tekanan darah, paras gula dan kolesterol darah, meningkatkan keseimbangan, melancarkan aliran darah dan mengawal berat badan.

No comments: