Friday, May 14, 2010

TIPS CINTA SUAMI ISTERI



1. Cium tangan suami dan dahi isteri setiap kali sebelum berpisah ke tempat kerja masing-masing.

2. Jika berpisah lebih dari sehari seperti untuk tugasan luar daerah, tambah rutin harian tadi dengan pelukan dan ciuman di bibir.

3. Walau sesibuk mana sekali pun, luangkan masa untuk menelefon pasangan sekurang-kurangnya sekali walau sekadar untuk bertanya apa yang sedang dilakukan.

4. Sentiasa ucapkan kata-kata sayang seperti I love you sepenuh hati sebelum keluar kemana-mana, menamatkan perbualan di telefon dan sebelum tidur.

5. Sentiasa mencari peluang untuk makan tengah hari bersama kerana pastinya ia tiada gangguan anak-anak jika pada hari berkerja.

6. Amalkan bertanya apa yang berlaku sepanjang hari selepas pulang dari kerja sebagai tanda mengambil berat dan memberi peluang pasangan meluahkan perasaan.

7. Luangkan masa untuk berbual tentang apa sahaja dari isu rumah tangga hinggalah politik semasa sebelum tidur.

8. Mudah berbaik jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan biar berlarutan walau untuk satu jam sekali pun apatah lagi berhari-hari.

9. Temani pasangan semasa menonton rancangan kegemaran mereka walau sambil membaca akhbar misalnya kerana apa yang penting ada berada disisi.

10. Jangan sesekali berpisah tempat tidur walau anak sudah berderet atau usia sudah meningkat kerana ia adalah salah satu amalan penting untuk mengeratkan kasih sayang.

11. Amalkan sembahyang berjemaah semasa di rumah, berdoa bersama serta bersalam-salaman selepasnya.

12. Biasakan bergilir gelas atau pinggan semasa makan serta tidak segan atau geli untuk menghabiskan makanan atau minuman isteri atau suami.

13. Sesekali buatlah kejutan seperti membeli hadiah atau kad untuk peristiwa tertentu, memakai pakaian dalam yang seksi atau apa sahaja yang anda tahu pasangan pasti menyukainya.

14. Senda gurau dalam rumah tangga amat penting, ceritalah sesuatu yang kelakar, teka teki atau apa sahaja yang membolehkan anda ketawa bersama.

15. Sentiasa kenang pengorbanan masing-masing seperti susah payah isteri melahirkan anak dan suami yang berkerja keras menyara keluarga.

16. Sesekali tukar gaya penampilan agar ada kelainan serta untuk mengelakkan pasangan merasa jemu.

17. Apa sahaja masalah yang timbul, berterus terang dan berbincang bersama untuk menyelesaikannya.

18. Sentiasa menyimpan tekad untuk menjadi suami/isteri yang baik dalam rumah tangga bahagia kerana fikiran positif akan memudahkan anda mencapai matlamat tersebut.

~~ Jika amalan-amalan di atas tidak pernah dilakukan sehingga anda membacanya hari ini, jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk melakukannya tanpa rasa ragu dan malu.

Tuesday, May 4, 2010

perancangan hidup..indahnya hidup ini..

Sebagai manusia biasa, kita sememangnya perlu tahu had kemampuan kita. Bukan mudah untuk menjaga hati semua orang, sedangkan hati sendiri pun selalu terluka dan berdarah. Kadang-kala kita perlu berani dalam membuat keputusan dan begitu juga dalam hal-hal yang berkaitan soal maruah diri dan masa depan kita. Perkara ini kita perlu untuk bertegas dan pertahankan. Ada masanya kita perlu bersabar dan ada masanya kita kena menyuarakan segala yang terpendam di hati.

Apa pun, kita mesti memegang prinsip bahawa kita lebih mengetahui kehendak dan kemampuan diri kita sendiri. Kita tidak mahu dibelenggu oleh kuasa lain, ini kehidupan kita. Sememangnya nilai kebebasan dalam membuat keputusan begitu mahal harganya. Cuba tanya kepada orang lain yang pernah terbelenggu kehidupan mereka sama ada oleh keluarga, bos, kawan-kawan atau pasangan hidup masing-masing . Jika kita bebas dalam hal-hal sebegini, kita akan dapat merasai satu kepuasan dan kenikmatan yang baru saja dapat dirasai dengan indahnya. Bagaikan mendapat semula kehidupan yang telah lama hilang selama ini, betapa indahnya hidup ini.....

Dalam sedar atau tidak, kebanyakkan ketidaktentuan dalam hidup ini penyebab utamanya adalah diri kita sendiri. Kita menjadi punca utama kepada kebanyakkan masalah dalam masalah hidup ini. Oleh itu, kita sepatutnya sentiasa memastikan bahawa segala perjalanan hidup kita mempunyai wawasan dan perancangan yang tersendiri dan berkesan. Sentiasa berpandangan jauh..

Lihatlah masa akan datang dengan sentiasa berpandangan jauh, cipta persediaan dan pengisian untuk hala-tuju kehidupan kita dengan jangkauan masa sepuluh tahun akan datang dan buatlah kajian setiap tahun tentang pencapaian kita. Kaji kembali kesilapan yang dibuat dan perkukuhkan segala kekuatan. Manusia seringkali gagal apabila dia tidak merancang atau tiada perancangan dan tidak pula melaksanakan apa yang dirancang selama ini. Sesungguhnya kehidupan yang tidak terancang akan memusnahkan masa depan dan kehidupan..